Berita
BERITA MENGENAI KITAR SEMULA
Petikan dari : Berita Harian (BH) Online : Malaysia masih ketinggalan dalam amalan kitar semula
KUALA LUMPUR: Pelbagai kempen sudah digerakkan oleh kerajaan dan swasta, namun kesedaran untuk kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum memuaskan sedangkan manfaatnya amat besar untuk kehidupan.
Amalan itu amat penting untuk melindung alam sekitar daripada pencemaran yang semakin memberi kesan kepada kesihatan dunia dan boleh menjejaskan masa depan manusia, tapi proses berkenaan jarang dititikberatkan oleh orang ramai.
Masih boleh dilihat sebahagian besar rakyat mengambil mudah kitar semula yang mampu menjimatkan sumber, menghalang pencemaran dan menyumbang kepada kesihatan awam. Tidak ramai yang sedar kitar semula juga mewujudkan peluang pekerjaan serta dapat menjana pendapatan sampingan dengan mudah.
Amalan itu juga dapat mengurangkan pembuangan sisa, pencemaran udara daripada proses pembakaran, pencemaran air dari tapak pelupusan sampah serta pengeluaran gas rumah hijau, selain mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu dan tenaga.
Tidak dapat disangkal, proses kitar semula adalah penentu kepada masa depan lebih baik bagi mengelakkan pencemaran yang boleh mengubah landskap dunia dan menjejaskan kehidupan generasi akan datang. Ketika ini, kadar pertambahan jumlah sisa pepejal negara adalah dua kali ganda daripada sepatutnya.
Menyedari pentingnya amalan berkenaan dan pola pertambahan sisa buangan yang terus meningkat dari semasa ke semasa, kerajaan mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah mulai 1 September tahun lalu berdasarkan peraturan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Peraturan yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah itu diharap dapat mendidik rakyat supaya mengamalkan kitar semula dengan lebih berkesan.
Undang-undang itu perlu bagi mengurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan, pencemaran udara akibat pembakaran terbuka, pencemaran sungai dan laut akibat pembuangan sampah secara berleluasa serta mengelak pencemaran bau akibat pengurusan sampah tidak sistematik.
Kitar semula adalah amalan mudah dan tidak memerlukan masa lama yang dapat mengurangkan penggunaan sumber baharu untuk dijadikan bahan baharu seperti kulit kayu bagi penghasilan kertas serta mengelakkan kepupusan flora dan fauna.
Sisa perlu diasingkan dengan sisa baki atau sisa pepejal isi rumah yang tidak boleh dikitar semula dibungkus kemas, diletakkan dalam tong sampah untuk pelupusan. Sisa boleh dikitar semula pula diletakkan dalam bungkusan berasingan di tepi tong sampah untuk dihantar ke tempat pemprosesan kitar semula.
Petikan dari : Berita Harian (BH) Online : Kitar Semula Pakaian Terpakai Jana Pendapatan
KUCHING: Biasanya pakaian lama atau baju terpakai berakhir dalam tong sampah atau setidak-tidaknya pun dijadikan kain perca atau kain lap, selain alas kaki.
Namun, bagi suri rumah, Norjati Empi, 46, beliau menggunakan kemahiran seni jahitan kreatif untuk mengitar semula pakaian lama dan baju terpakai menjadi fesyen terkini, sekali gus menjana pendapatan tambahan untuk menyara keluarganya.
Malah, usahanya mengitar semula pakaian terpakai, yang biasanya dibeli dari kedai 'bundle' di sekitar tempat tinggalnya, mula membuahkan hasil apabila koleksi beg dihasilkannya dari pakaian terpakai itu mula menarik minat orang ramai.
Mula berkecimpung dalam seni jahitan kreatif sejak setahun lalu, Norjati menyahut saranan Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) melalui kempen 'We Share We Care - Dari Kesedaran Kepada Tindakan, Dari Sisa Buangan Kepada Sumber Kekayaan.'
Baginya, bahan buangan juga mampu menjana pendapatan bagi membantu golongan wanita, terutama suri rumah sepenuh masa meningkatkan sumber pendapatan keluarga masing-masing.
Apa yang penting, beliau kini mempunyai platform untuk memasarkan produk yang terhasil dari bahan buangan melalui program 'Handmade Market' yang mula diperkenalkan persatuan terbabit sejak awal tahun ini.
"Ini adalah peluang meningkatkan kemampuan diri dalam menghasil produk dengan sentuhan dan kreativiti sendiri. Jika sebelum ini saya hanya terbabit dalam penghasilan produk semata-mata, namun kita kini mempunyai platform untuk memasarkannya, termasuk dalam kalangan pelancong," katanya.
Beliau sebahagian daripada peserta program berkenaan yang dianjurkan PSJK di CityOne Megamall, di sini yang berlangsung dari 22 hingga 26 Jun lalu.
Berasal dari Kampung Kudei, Satok, Norjati berharap bidang seni jahitan kreatif terus berkembang, sekali gus membantu menjana sumber ekonomi, terutama kepada golongan tidak berkerjaya seperti suri rumah.
Sementara itu, penyelia program, Muhammad Nazrin Saimie, berkata melalui inisiatif berkenaan, peserta bukan sahaja diberikan pendedahan mengenai kemahiran seni jahitan kreatif, malah turut dibimbing dalam aspek pemasaran produk serta bidang keusahawanan.
"Ia juga sebagai usaha memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa setiap barang terbuang itu, khususnya pakaian masih mempunyai nilainya. Contohnya, pakaian lama hanya dijadikan kain buruk tetapi sebenarnya ia mampu dijadikan sebuah beg menarik dengan sedikit kreativiti digunakan," katanya.
Katanya, setiap tahun kerajaan memperuntukkan sejumlah besar wang untuk kempen kitar semula bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat agar mengurangkan bahan buangan.
"Ini termasuk mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kerana penghasilan bahan baru daripada bahan mentah.
"Kempen 3-R adalah komitmen kerajaan mengenai usaha memupuk budaya kitar semula, termasuk pakaian terpakai. Namun, dalam melaksanakan usaha ini, kita perlu ada kesedaran bahawa kitar semula ini juga mampu menjana pendapatan," katanya.
Comments
Post a Comment